Sunday, 5 February 2012
ku sambut cinta mu..
“Alangkah teringinnya di hatiku
andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah
sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran
perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan
pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga
saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa
sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain
mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun
saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang
belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda,
termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal
isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar
kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi
wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang
pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang
beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa
mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui
bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah
menyuburkan rasa cinta.
Cinta yang luar biasa…
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu
‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di
masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun
ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu
membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda
seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa
memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira
melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu
mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik,
Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan
sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin
meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan
kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman
perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun
ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
“Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee
al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi,
Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang
ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh
kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya..
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta
yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang
agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu
berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di
hatimu….
“Tidak
sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya
berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
p/ s : j0m sama2 berselawat..
Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi..
~ sharing is caring..(^_~) ~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
ya llah lame nye x ziarah permata...ape kbr..?smga ALlah terus lindungi..berselawat ke atas nye insyaAllah pagi dan petang :)
Post a Comment