Seiring dengan usaha kita membina
kekuatan iman bersulam taqwa, wujud pula penghasut paling bahaya iaitu
syaitan. Ia tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati
kita. Di samping mengaburi mata kita dengan tipu dayanya. Untuk itu, kita perlu
kenal pasti laluan syaitan ketika memperdayakan akidah, kepercayaan, pegangan
dan keyakinan kita.
Apabila kita amati puncanya,
dapatlah diketahui bahawa hasutan syaitan itu banyak menyusup melalui pandangan
dan renungan mata!
Kenapa pula pandangan mata perlu
dipersalahkan?
Bahaya Panahan Mata
Syaitan
Sesungguhnya pengaruh penglihatan
itu sangat kuat.
Kuat sangat ke?
Memang kuat!
Kerana ia dikaitkan dengan desakan
nafsu. Sebab itulah Rasulullah mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah
beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga.
Sama ada terhadap mereka yang menutup aurat mahupun yang tidak menutup aurat.
Telah berlaku di zaman Rasulullah,
ketika Al-Fadhl bin Abas menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari
Muzdhalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki
unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu lalu Rasulullah memegang kepala
Al-Fadhl dan memalingkannya ke arah lain.
Begitu sekali larangan yang
Rasulullah maksudkan. Jika pandangan itu dibolehkan tanpa batasan, sudah tentu
Rasulullah biarkan saja perlakuan Al-Fadhl.
Rasulullah juga pernah bersabda
kepada Saidina Ali :
"Wahai Ali, janganlah engkau
susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi
bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu)."
(HR Ahmad, Al-Tirmidzi dan Abu Daud)
Jadi?
"Jika mata sentiasa dikawal,
sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudahlah melaksanakan ketaatan dan beribadah
kepada Allah. Sebaliknya, mata yang dibiarkan MELIAR dan tidak dijaga akan
mengotori jiwa dan merosakkan hati hingga menjerumuskan kepada
kemungkaran."
Urusan mengawal pandangan ini tidak
hanya di kalangan lelaki sahaja. Dituntut sama sahaja buat perempuan juga.
Malahan perlu berlaku kerjasama kedua-dua pihak. Tidak satu pihak menjaga
tatatusila, sedangkan satu pihak lagi menggoda. Perkara ini mesti diberi
perhatian serius!
Ibnu Abas pernah berkata :
"Kedudukan syaitan dalam diri
orang laki-laki itu ada tiga tempat iaitu, pada pandangannya, pada hatinya dan
pada ingatannya. Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga
iaitu pada lirikan matanya, pada hatinya dan pada kelemahannya."
Pandangan Yang Tidak
Sengaja Bagaimana Pula?
Rasulullah ketika ditanya mengenai
pandangan yang tidak disengajakan atau secara tiba-tiba, baginda memerintahkan
supaya mengalih pandangan dan mengelak daripada mengulanginya lagi. Kesan
pandangan kedua akan lebih buruk kerana iblis mengambil kesempatan menambahkan
racun hasutannya.
Rasulullah juga ada bersabda :
"Pandangan mata itu laksana
anak panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka
Allah mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia
bertemu Allah."
Jelingan dan kenyitan mata akan
mempelawa hati mendorong perlakuan lebih berani.
Bagaimana ye?
Bersentuhan berlapik, menginjak
kepada tidak berlapik. Kemudian berpegangan tangan dan berdua-duaan di tempat
terang dan juga sunyi boleh mengundang berlakunya maksiat. Sentiasalah
memelihara diri kita daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah.
Pastikan orang lain tidak menanggung
dosa atau terdorong untuk turut melakukan dosa. Jika kamu tidak menggoda,
pasti orang lain tidak ternoda. Jagalah pakaian ketat dan cara
pergaulan kamu. Tepati maksud firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2 :
"Dan tolong-menolonglah kamu
dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa. Dan janganlah tolong menolong dalam
berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah sesungguhnya
Allah sangat berat seksa-Nya."
Pergaulan Yang Tidak
Dijaga
Dengan batas-batas pergaulan itu
kita dapat mengawal diri daripada perlakuan yang memalukan dan membahayakan
kehormatan. Pergaulan yang tidak dijaga akan menimbulkan fitnah seperti pandangan
buruk dan rasa cemburu orang yang memandang.
Kemesraan bergurau senda dan
bergelak ketawa antara lelaki dan wanita bukan muhrim akan diambil peluang oleh
syaitan untuk menjerumuskan kita kepada perbuatan yang tidak disukai oleh
Allah. Jika keluar berdua-duaan lebih-lebih lagi di tempat sunyi dan
tersembunyi akan mengundang pihak ketiga iaitu syaitan. Di sini syaitan
berpeluang membisikkan kata-kata jahat.
Islam sama sekali tidak mengongkong
umatnya! Bahkan Islam adalah agama yang paling selamat. Justeru Islam telah
mengatur sebaik-baik batasan supaya jangan timbul bibit-bibit yang mendorong
kepada perlakuan sumbang dan zina.
Dari itu, ingatilah amaran Nabi
Muhammad kepada wanita dan lelaki bukan muhrim yang tidak menjaga batas
pergaulan.
"Sesungguhnya Allah telah
menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya daripada zina. Dia mengetahui yang
demikian itu dan tanpa dimungkiri :
- Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan.
- Lidah itu berupaya berzina dan zinanya adalah
perkataan.
- Kaki itu berupaya berzina dan zina adalah ayunan
langkah.
- Tangan itu mampu berzina dan zinanya adalah tangkapan
keras.
- Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan.
- Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang
demikian itu."
(HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa'i dan
Abu Daud)
Berhati-Hatilah
Sahabatku!
Laraskan hati kalian di landasan
kebenaran. Sesungguhnya hati yang terpelihara dari menjurus kepada sebarang
keburukan sentiasa mendorong pemiliknya kepada keredhaan Ilahi. Akhirnya layak
beroleh kebahagiaan hakiki lagi abadi.
Tidak ada istilah
"ringan-ringan" dalam soal dosa. Dan tidak ada istilah
"ringan-ringan" dalam berzina. Setiap perbuatan dosa adalah berat di
sisi Allah. Dosa kecil yang diulang-ulang akan bertompok menjadi besar.
Wahai kedua mata, kau nikmati pandangan
lalu kau susupkan kepahitan ke dalam hati. Hatilah yang memaksakan kehendaknya,
kerana hati dan mata tidak tunduk kepada Pencipta.
~ sharing is caring..(^_~) ~
0 comments:
Post a Comment